Liga Super - Lion XII Terus Unggul Di Depan

Mahsul Sejahtera
0
Lions XII terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas T-Team di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu malam untuk membolehkan mereke terus menerajui Liga Super dengan 34 mata selepas 16 perlawanan manakala T-Team kekal di tangga ke-11 dengan kutipan 12 mata selepas 17 perlawanan.

Shahril Ishak membuka jaringan seawal minit kesembilan sebelum Shakir Hamzah menggandakan kedudukan pada minit ke-28. Fazrul Nawaz memastikan tiga mata penuh milik Lions XII FC selepas menanduk masuk sepakan percuma Shahril pada minit ke-35.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengekori rapat selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya. Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit kesembilan menerusi kapten pasukan ATM Hairuddin Omar, yang menanduk masuk sepakan percuma Rezal Zambery Yahya.

Johor Darul Takzim (Johor DT) pula menang bergaya 3-1 ke atas PKNS FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sekali gus merampas tangga ketiga liga dari Selangor dengan 28 mata.

Gol pertama JDT hadir  pada minit ke 28 selepas pertahanan PKNS FC P. Gunalan tertampan bola  hantaran silang pemain Johor DT Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam gol sendiri.

Penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha menggandakan kedudukan untuk JDT dengan gol kedua pada minit ke-42. Patrick Ronaldinho Wleh mengurangkan defisit jaringan tujuh minit kemudian, sebelum Mohd Nurul Azwan meledak gol kemenangan pada minit ke-84.

Terengganu pula hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 2-2 ketika bertemu Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Khairul Ramadhan Zauwawi menjaringkan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-10 menerusi sepakan kencang dari sudut sukar. Terengganu terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila pemain tengah Ismail Faruqi dibuang padang pada minit ke-53 oleh pengadil Syed Azhar Syed Kamar kerana mengutip dua kad kuning.

Kesempatan itu digunakan pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Faizol Hussein seminit kemudian menerusi sepakan voli kencang dari kawasan luar kotak penalti Terengganu. Terengganu kembali mendahului pada minit ke-64 melalui  Abdul Manaf Mamat tetapi Pahang berjaya menyamakan kedudukan apabila Abdul Malik Mat Ariff berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi mengikat kedudukan seri 2-2

Enhanced by Zemanta

Post a Comment

0Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
To Top