Chong Wei Ungguli Kejuaraan Siri Super Masters Akhir 2013 Kalahkan Tommy Sugiarto

Mahsul Sejahtera
0

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran ketujuh tahun ini selepas mengalahkan pemain Indonesia Tommy Sugiarto dalam final Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir 2013 di sini Ahad.

Tommy yang merupakan pilihan keempat menyerah dalam perlawanan yang berlangsung 32 minit. Ini merupakan kekalahan ketujuh Tommy dari Chong Wei dalam seluruh pertemuan antara kedua pemain.

Chong Wei hanya mengambil masa 32 minit untuk menjinakkan Tommy dengan keputusan 21-10, 21-12 untuk merangkul gelaran keempat kejohanan penutup tirai musim ini selepas menjuarainya pada 2008, 2009 dan 2010.

Sepanjang tahun ini, Chong Wei selaku pemain nombor satu dunia berjaya mengungguli saingan dalam enam kejohanan iaitu Terbuka Korea, Malaysia, India, Indonesia, Jepun dan Terbuka Hong Kong.

Kemenangan tersebut sudah pasti meningkatkan semangatnya untuk menghadapi saingan tahun depan termasuk kejohanan utama seperti Piala Thomas di New Delhi, India, Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

"Saya tahu bahawa saya tidak muda lagi tetapi bagi saya umur hanya angka dan berharap dapat mengekalkan prestasi ini untuk satu atau dua tahun lagi," katanya kepada pemberita di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras.

"Secara terus terang, kini saya lebih bersemangat untuk berlatih dengan lebih gigih bagi menghadapi pertandingan yang lebih penting dan lebih sukar pada tahun depan," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Atas kemenangan itu, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah US$40,000 (RM129,352).

Mengenai perlawanan akhir itu, beliau berkata pencabarnya itu mungkin mengalami keletihan selepas melalui pertarungan sengit menentang pemain pilihan kedua, Kenichi Tago dari Jepun pada peringkat separuh akhir semalam.

"Saya melakukan rentak serangan dengan pantas sepanjang masa kerana saya tahu dia (Tommy) boleh memberi tentangan kerana pernah bertemu dengannya sebelum ini.

"Tetapi kadang-kadang kita perlu mengambil kira keadaan seseorang pemain pada final itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Keputusan Penuh Perlawanan Akhir

Christinna PEDERSEN/
Kamilla RYTTER JUH
vs Jin MA/
Jinhua TANG
21-19 21-12
Xuerui LI vs Tzu Ying TAI 21-8 21-14
Chong Wei LEE vs Tommy SUGIARTO 21-10 21-12
Joachim FISCHER NIELSEN/
Christinna PEDERSEN
vs Nan Zhang/Yunlei ZHAO 12-21 21-19 21-10
Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan vs Ki Jung Kim/Sa Rang Kim 21-14 21-16

Post a Comment

0Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
To Top