Header Ads

JDT gagal mara ke pusingan ketiga Kejohanan Bola Sepak Asia Champions League


Wakil tunggal Malaysia dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal mara ke pusingan ketiga selepas tewas 0-3 kepada Bangkok Glass FC di Stadium Leo, Bangkok, Thailand malam tadi.

Ketiga-tiga gol pasukan dari Thailand dijaringkan oleh Narong Jansawek (min-28) dan dua gol oleh Lazarus Kaimbi (ke-52 dan ke-62 min).

Bangkok Glass FC akan menentang Beijing Guoan dari China di Stadium Pekerja Beijing di Beijing pada 17 Februari.

Pemenang akan layak untuk bertanding dalam Kumpulan G ACL dan menghadapi Brisbane Roar (Australia), Urawa Red Diamonds (Jepun) dan Suwon Blue Wings (Korea Selatan), yang telah layak ke peringkat kumpulan.

Dengan kekalahan ini, JDT akan bermain dalam Kumpulan F Piala AFC bersama-sama Kitchee FC (Hong Kong), East Bengal (India) dan Balestier Khalsa (Singapura).

JDT sebelum ini telah mengalahkan kelab India Bengaluru FC 2-1 dalam pusingan kelayakan pertama ACL di Stadium Larkin pada 4 Februari lepas.

Selain JDT, Pahang juga akan bermain dalam Piala AFC dan menghadapi Global FC (Filipina), Yadanarbon (Myanmar), dan South China (Hong Kong) dalam Kumpulan G.

AFC Cup 2015 akan bermula pada 24 Feb yang melibatkan 32 pasukan dari seluruh Asia.


Sumber - Bernama, 10 Februari 2015.

Powered by Blogger.